KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menyeru parti politik menamatkan persengketaan sebaliknya menumpu dan memberikan fokus kepada masalah utama yang dihadapi negara ketika ini.

Dalam satu kenyataan penghargaan dan tahniah sempena pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu, Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs akan memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menggembleng seluruh warga perkhidmatan awam untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Kesatuan yang memayungi kira-kira 1.6 juta penjawat awam itu yakin Ismail Sabri mampu meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan dalam memastikan negara berada di landasan yang lebih baik dalam menguruskan pandemik COVID-19 dan memperbaiki ekonomi rakyat.

Cuepacs juga katanya memohon agar Perdana Menteri  menstrukturkan semula setiap kementerian supaya fungsinya lebih tersusun dan terkoordinasi.

"Setiap lantikan ketua setiausaha atau pegawai tertinggi perlulah dilantik berdasarkan hierarki kelayakan dan kebolehan tanpa dipengaruhi faktor politik atau calon kegemaran menteri.

"Perkara ini penting bagi memastikan jentera pentadbiran YAB Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri dapat dibantu oleh pegawai kerajaan yang berkaliber, berintegriti dan berkebolehan sekali gus memastikan keberhasilan program kerajaan," katanya dalam kenyataan tersebut.

Cuepacs juga berharap agar pelantikan Perdana Menteri yang baharu ini akan menamatkan perseteruan dalam kalangan ahli politik, dalam memastikan krisis pandemik COVID-19 ini segera dapat diatasi.

"Adalah besar harapan Cuepacs untuk melihat pelantikan YAB Perdana Menteri dapat menamatkan kemelut politik yang melanda negara sebelum ini supaya semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin parti politik dapat bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan memerangi pandemik COVID-19," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Cuepacs berharap agar pengumuman kerajaan mengenai penambahbaikan kebajikan penjawat awam dapat dilaksanakan oleh kerajaan yang baharu ini.

Jelasnya, perubahan kerajaan sebanyak tiga kali telah menyebabkan pengumuman kerajaan terdahulu tidak dilaksanakan oleh kerajaan semasa.

Antara pengumuman yang belum dilaksanakan termasuklah pemberian kenaikan gaji bersamaan 1 KGT,  pemendekan kenaikan pangkat KUP kali kedua dari 13 tahun kepada 10 tahun, pewujudan gred 56 bagi guru dan kenaikan 1 peratus kepada pesara.

Selain itu juga, Cuepacs berharap agar Gantian Cuti Rehat boleh ditebus dengan wang tunai sebanyak 75 hari.