KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), menyeru agar kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengekalkan semua inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata inisiatif yang telah diumumkan melalui Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Nov lepas, ialah suatu yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam.

"Tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana perubahan kerajaan. Tidak mahu tidak ia mesti dilaksanakan mengikut tarikh yang telah diumumkan sebelum ini.

"Cuepacs tidak mahu perkara yang sama terjadi pada 2018, apabila inisiatif yang dijanjikan oleh kerajaan tidak ditunaikan apabila berlaku peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara inisiatif yang diumumkan untuk penjawat awam oleh kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) mulai Januari depan dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 sebanyak RM700 pada Januari.

[LAPOR LANGSUNG] 'Beri ruang Anwar pimpin negara'

Selain itu, turut diumumkan BKK sebanyak RM350 kepada pesara dan juga Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM600 pada Mac tahun depan.

Mengenai kekecewaan penjawat awam pada 2018, Adnan berkata ia sepatutnya tidak wajar berlaku kerana selaku majikan, kerajaan tidak boleh menarik semula inisiatif setelah segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab sebagai jentera pentadbiran negara.

Pada 2018 sebelum PRU14, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan gaji bersamaan satu KGT secara khas kepada semua penjawat awam; pemendekkan kenaikan pangkat 'Time Based' kali kedua dikurangkan kepada 10 tahun dan penambahan Gred DG 56 bagi guru Kementerian Pelajaran (KPM), namun ia tidak dilaksanakan susulan perubahan Kerajaan Persekutuan.

Adnan juga berharap pertimbangan dan kebijaksanaan Anwar selaku Perdana Menteri, untuk terus mengekalkan segala kemudahan yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Cuepacs juga yakin semua Ahli Parlimen akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri semasa sesi pembentangan belanjawan mini pada 19 Dis ini.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis, selepas negara berdepan kemelut politik yang menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15.

-- BERNAMA