SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan kerajaan yang tidak lagi bergantung kepada perunding luar dalam memberi nasihat pentadbiran berhubung dasar dan strategi.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ini kerana lantikan perunding luar hanya akan menambah kos kepada kerajaan.

"Sebenarnya di perkhidmatan awam ada jawatan tertentu di jabatan-jabatan yang bertanggungjawab membuat penilaian dan kajian tentang suatu kaedah kepenggunaan atau projek tertentu.

"Jawatan ini telah pun wujud sekian lama dan mereka ini akan jadi penasihat kepada jabatan dalam bentuk kepakaran, penelitian dan membuat penilaian tertentu kepada jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Jumaat.

Justeru, beliau berharap anggota perkhidmatan awam yang bertindak sebagai perunding atau penasihat di jabatan-jabatan dapat menunjukkan hasil kerja terbaik seperti mana diperlukan kerajaan.

Tambah Adnan, amalan melantik perunding luar wujud sejak dahulu lagi dan ia kemungkinan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk memberi peluang pendapatan kepada rakyat.

"Tapi ketika ini dengan kekangan kewangan semestinya kerajaan perlu mengawal perolehannya dan tiada lagi lantikan perunding luar itu adalah satu keputusan tepat," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada lagi kebergantungan kepada pihak ketiga selepas ini, melainkan terdapat kekurangan pakar subjek dalam kerajaan.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan, dengan penjawat awam menyediakan cadangan penyelidikan dan penemuan untuk membuat keputusan. -- Sinar Harian