GEORGE TOWN: Seorang tukang tilik warga India berjaya diselamatkan polis, dua hari selepas mangsa diculik sekumpulan individu dalam kejadian di Bukit Mertajam, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya berjaya menemukan mangsa yang berusia 24 tahun itu yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kedah dengan kakinya diikat dengan rantai besi.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kaki dan belakang badan menerima rawatan di sebuah hospital terdekat dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau memberitahu, bertindak atas satu laporan daripada seorang lelaki tempatan, polis melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar Bukit Mertajam di sini dan Kulim, Kedah serta menahan menahan tujuh lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan 11 lelaki warga asing, berusia 24 hingga 60 tahun.

"Daripada mereka yang ditahan tiga individu adalah sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka.

"Pemeriksaan mendapati kesemua 11 lelaki warga asing yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK)  di sini, pada Jumaat.




Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, suspek meminta wang tebusan sebanyak RM700,000 daripada keluarga mangsa untuk membebaskan mangsa dimana sebahagian wang telah dibayar.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dan suspek mengenali satu sama lain.

"Kita dapati mereka (suspek) bukan sindiket, sebaliknya kejadian ini berlaku secara kebetulan dan kita masih lagi menyiasat motif kejadian termasuk kemungkinan wujudnya unsur penipuan," tambahnya.

Kesemua suspek katanya ditahan reman empat hari sehingga Ahad bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Dengan penahanan ini, Mohd Shuhaily percaya polis berjaya menyelesaikan kes itu.