Seorang pengawal keselamatan dipenjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 26 keping coklat, dua hari lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som memerintahkan Mohd Firdaus Abdul Munap, 22, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 26 Dis lepas dan dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mencuri coklat yang kesemuanya bernilai RM313.69 milik Pasaraya Giant di Sungei Wang, Jalan Bukit Bintang, di sini, pada 11.30 pagi, 26 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Mohd Firdaus juga didenda RM300 bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen sementara di tempat, masa dan tarikh sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia baru bekerja. -- BERNAMA