PUTRAJAYA: Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang sebelum ini ditangguhkan, akan dilaksanakan pada 1 Jan 2023, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Dalam sidang media, di sini hari ini, beliau berkata, walaupun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan itu, terdapat juga keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan.

Pada 26 Ogos lepas, Menteri Sumber Manusia ketika itu Datuk Seri M. Saravanan mengumumkan penangguhan penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 kepada 1 Jan 2023. Ia sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Sept lepas.

Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.

"Saya rasa perkara ini harus kita teruskan, sebab undang-undang ini telah lulus di Parlimen dan sebahagian besar daripada pindaan ini adalah berdasarkan kepada Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan ia (akta) adalah sebagai jaminan kepada pekerja," kata Sivakumar.

Sivakumar berkata, di bawah pindaan Akta Kerja 1955 itu, ia turut mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) seperti yang termaktub di bawah Seksyen 60K (4).

Menurutnya, Seksyen 60K (4) bertindak sebagai saringan awal yang efektif dalam memastikan majikan yang bakal menggajikan pekerja asing di Malaysia mempunyai rekod bersih dari aspek kepatuhan kepada standard perburuhan.

"Kewajaran untuk majikan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah JTKSM adalah kerana permohonan yang ditolak sebelum ini susulan kegagalan majikan mematuhi undang-undang perburuhan," katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi isu kekurangan pekerja asing dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan seperti yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pascamesyuarat Kabinet hari ini.

"Kita pandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan KDN untuk pastikan kita mempunyai tenaga kerja mencukupi dalam tempoh terdekat," katanya sambil menambah KSM telah memberi hampir 700,000 kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing ke Malaysia setakat ini.

Dalam sidang media pascamesyuarat Kabinet hari ini, Anwar meminta KDN dan KSM menyegerakan kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing dalam ketiga-tiga sektor tersebut khususnya.

Menyentuh mengenai sistem pengambilan pekerja asing, Sivakumar berkata, Sistem Satu Saluran (OCS) yang merupakan saluran integrasi bagi Malaysia dan Indonesia berhubung pengambilan pekerja asing ke negara ini, akan diletakkan di bawah KSM.

"Sama ada OCS di bawah KSM mahupun KDN bukan isunya, apa yang penting adalah hasil akhirnya, sama ada kita dapat pekerja yang cukup atau tidak, itu lebih penting," katanya. - BERNAMA