Dadah bernilai RM25.87 juta dirampas di Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 26, 2020 07:23 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (tengah) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM25.87 juta yang dirampas di negeri itu dalam sidang media pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM25.87 juta, selepas penahanan dua lelaki tempatan termasuk dalang utama kes berkenaan dalam siri serbuan di negeri itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang di beberapa kawasan di Nibong Tebal sekitar pukul 7 petang Isnin hingga 11 malam Rabu lepas.
Sahabudin berkata, lelaki berusia 37 tahun yang juga dalang kes berkenaan ditahan di kawasan kedai di Taman Perindustrian Nibong Tebal bersama dadah jenis syabu bernilai RM 4.68 juta didalam kereta ketika dalam perjalanan menjual dadah.
"Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 100 bungkusan dadah dipercayai syabu sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor penyimpanan bekalan pelbagai jenis dadah di kawasan taman perumahan berdekatan.
"Polis menjumpai sejumlah dadah dipercayai syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, heroin dan ketamin yang jumlah keseluruhan bernilai RM25.87 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Susulan tangkapan pertama, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 43 tahun dikawasan pekan Nibong Tebal dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah
Sahabudin berkata, sindiket terbabit yang membawa masuk dadah dari Thailand menggunakan jalan darat beroperasi sejak pertengahan tahun ini dan menjadikan Pulau Pinang sebagai transit sebelum mengedar dadah ke kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai, barang kemas dan duit dalam akaun yang kesemuanya dianggarkan RM243,231.82.
Siasatan awal mendapati lelaki pertama yang ditahan itu tidak bekerja turut positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan narkotik.
Manakala suspek kedua yang bekerja sebagai penjual dalam talian tiada rekod lampau atau positif dadah.
Kedua-dua suspek direman selama 7 hari bermula 22 hingga 29 Disember.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
#Dadah #pulau pinang #sindiket pengedaran dadah #dua lelaki tempatan #dalang #Nibong Tebal #Taman Perindustrian Nibong Tebal #Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang #Syabu #ekstasi #heroin #Ketamin