Dadah: Pelajar tingkatan lima antara 104 individu yang ditahan polis

Umavathi Ramayah
Jun 18, 2020 13:38 MYT
Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelajar tingkatan lima adalah antara 104 individu yang ditahan berkaitan dadah. - Gambar fail/Astro AWANI
Seorang pelajar tingkatan lima merupakan antara 104 individu yang ditahan polis dalam Op Tegar di sekitar kawasan Petaling Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pelajar itu ditahan ketika polis melakukan operasi di beberapa kawasan 'panas' sekitar daerah Petaling Jaya selepas menjalankan siasatan dan risikan sejak dua minggu lalu.
Katanya, operasi yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada kali ini memfokuskan penagih dadah, tokan dan pembekal.
"Hasil pemeriksaan seramai dua individu berusia 17 hingga 20 tahun ditahan, 21 hingga 30 tahun (46 orang), 31 hingga 40 tahun (31 orang) dan 41 hingga 50 tahun (25 orang)," katanya di sini, pada Khamis.
Nik Ezanee menambah, polis turut merampas 3.2 kilogram ganja, heroin (112.1 gram), syabu (7.62 gram), ketamin (1.8 gram), pil erimin 5 (0.5 gram) dan cecair ketum (9 liter).
Beliau menegaskan dengan tangkapan yang melepasi angka dua ini, ia akan memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan aktiviti dadah.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling alam terus komited meneruskan operasi seperti ini secara berkala terutamanya di kawasan tumpuan," ujarnya.
Operasi itu katanya bermula pada pukul 9.30 malam Rabu dan berakhir pukul 6 pagi Khamis.
#narkotik #Op Tegar #operasi #PDRM #pelajar #Petaling Jaya #PKPP #Polis Diraja Malaysia #siasatan #Syabu