MUAR: Lima pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini, direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan, berhubung dakwaan buli membabitkan seorang pelajar ‘junior’, minggu lalu.

Perintah tahanan reman sehingga Sabtu ini, terhadap semua pelajar berusia 16 tahun itu dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kesemua pelajar itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menggunakan trak polis sebelum dibawa keluar tiga jam kemudian.

Semalam, Astro AWANI melaporkan lima pelajar ditahan selepas dipercayai membuli pelajar ‘junior’ berusia 14 tahun sehingga  sehingga mengalami kecederaan bengkak di bahagian rusuk kiri dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

BACA: Dua remaja ditahan, buli pelajar junior di Muar

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang Selasa memaklumkan mangsa dibuli oleh pelajar-pelajar lebih 'senior' sehingga mengalami kecederaan.

Kesemua suspek itu kemudian ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat di sekitar Melaka, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berpunca ekoran kesemua suspek tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya, menyebabkan mereka dibuli.

Katanya, Polis Daerah Muar memandangkan serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.