KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen diminta membuat permohonan maaf kerana mendakwa Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) gagal mentadbir negeri itu.

Ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata beliau kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Sarawak itu.

"Kenyataan YB Stampin mengatakan GPS adalah 'opportunist' dan gagal memperjuangkan hak Sarawak.

"YB Stampin perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Sarawak, Presiden GPS dan seluruh wakil rakyat GPS dalam dewan yang mulia ini.

"Perpaduan kita harus disuburi untuk mempertahankan keutuhan Kerajaan Perpaduan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam masa yang sama, Rodiyah menegaskan kepimpinan kerajaan GPS telah berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan yang lebih baik kepada negeri Sarawak.

Ini dapat dilihat menerusi Belanjawan 2023 apabila Sarawak diperuntukan sebanyak RM5.6 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2020, selain kenaikan geran khas tahunan daripada RM16 juta kepada RM300 juta.

Terdahulu, Chieng Jen ketika membahaskan Belanjawan 2023 antaranya didakwa menyindir GPS agar mengekalkan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.