KUALA LUMPUR: Dakwaan sehingga 10,000 rakyat Malaysia menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Thailand adalah tidak berasas.

Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia menjelaskan, pihaknya yakin jumlah tersebut adalah jauh lebih kecil.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, pihaknya menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 warganegara Malaysia yang berhasrat pulang ke tanah air.

"Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini, hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

"Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral," kata kenyataan tersebut.

Namun Kementerian Luar Negeri mengakui terdapat kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia akibat penutupan sempadan sejak Mac 2020.

Ia ditambah lagi apabila pada Februari 2021 kerajaan Thailand mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memagang visa pelancong atau jangka pendek untuk meninggalkan negara tersebut.

"Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu dari segi pembaharuan Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand.

"Manakala Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia," katanya lagi.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla amat prihatin dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia–Thailand.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bermula 8 April 2022 bagi membolehkan pihak Konsulat Jeneral menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.