Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) hanya membuat dakwaan semberono dan tidak berasaskan fakta.

"Bagi saya, Mat Sabu ni banyak yang dia cakap itu merapu. Mana boleh dia tuduh Mara sebagai pelingkup Melayu," tegas Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad Sabu yang mengatakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak beri kesan buruk kepada orang Melayu.

Menurutnya, mana mungkin Mara 'melingkupkan' orang Melayu tatkala mereka melahirkan lebih sejuta pelajar berjaya di samping menyediakan pendidikan dan kebajikan yang baik kepada masyarakat.

"Biasalah, saya tengok ucapan dia, tidak pernah berdasarkan fakta, dia main cakap saja apa yang dia mahu cakap. Jadi saya anggap dia merapu. Tidak perlu kita ambil endah apa dia cakap.

"Saya percaya penduduk Kuala Kangsar juga mempunyai pendapat sama. Dia kata Mara melingkupkan orang Melayu, otak DAP lah ni," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Pemimpin bersama peserta Felcra Berhad, di Kampung Bendang Kering, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin BN mampu menambah majoriti dalam PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan antara punca utama adalah berlakunya pecahan undi melibatkan PAS dan Amanah.

Ujarnya, situasi itu akan memberi kelebihan kepada BN namun beliau memberi peringatan supaya tidak bergantung kepada kelemahan lawan sebaliknya menumpukan untuk menambah kekuatan jentera BN.

"PAN (Amanah) dan PAS sama ada mereka suka atau tidak, undi mereka akan berpecah. Jangan kita harap kelemahan lawan sebaliknya kita juga perlu ada kekuatan sendiri.

"Jadi, jangan apabila mereka berpecah dua, kita pula berpecah tiga. Kita mesti 'solid', kita jangan berpecah. Pedulikan mereka tapi pastikan kita tidak berpecah," ujarnya.

Sementara itu, seramai 469 peserta Felcra dalam Kuala Kangsar menerima dividen berjumlah RM469,887 sebagai sebahagian daripada dividen berjumlah RM 74 juta yang diperuntukkan.

Ujar beliau, jumlah dividen pada tahun ini meningkat sebanyak RM9 juta berdasarkan faktor harga kelapa sawit dan beliau menyasarkan dividen mampu mencecah RM400 juta untuk tahun ini.