Tidak masuk akal. Demikian pandangan beberapa pihak mengenai dakwaan pakatan PKR-DAP-PAS bahawa Barisan Nasional (BN) memindahkan lebih 40,000 pengundi "hantu" dari Sabah dan negara asing ke Semenanjung, bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya kali ini.

"Bagaimana hendak membawa pengundi hantu dari Sabah ke sebuah negeri lain?," kata Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Negeri Sabah (Perasa) Kuala Lumpur Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak ketika dihubungi Bernama.

Hujahnya adalah mustahil untuk memindahkan manusia seperti barangan, apatah lagi melibatkan jumlah sedemikian besar.

"Bagi saya dakwaan ini sengaja dibangkitkan kerana sudah tidak ada isu lain lagi untuk mereka gunakan bagi memancing undi. Pihak tertentu memang sengaja mencari dan menunggu peluang untuk menimbulkan isu," katanya yang diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini bahawa ada cubaan membawa masuk pengundi hantu dari Sabah ke Selangor.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula berkata dakwaan tiga sekutu itu hanya untuk menimbulkan kemarahan penyokong mereka.

"Umno dan BN tidak sebegitu bodoh untuk membuat kerja yang melibatkan operasi besar seperti itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Ahmad mereka mahu menunjukkan kepada rakyat kononnya agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dalam menjalankan pilihan raya kali ini, sedangkan nama setiap pengundi di satu-satu kawasan sudah disemak dan disahkan SPR serta pengundi terbabit sebelum ini.

Sementara itu Senator Datuk S. Nallakarupan yang juga bekas rakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Anwar telah dilabel sebagai orang yang akan mencari salah BN dalam apa juga perkara walaupun BN berada di pihak yang benar.

"Di dalam kepalanya hanyalah untuk menjadi perdana menteri, menjatuhkan BN. Lain-lain tiada," katanya.

Antara lain, pakatan PKR-DAP-PAS itu mendakwa ada banyak penerbangan yang ditempah khas termasuk menggunakan pesawat Boeing 747 dari Kuching dan Kota Kinabalu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta lapangan terbang lain di Semenanjung, selain penggunaan pesawat tentera.

Pada sidang media semalam, Anwar yang menunjukkan salinan e-mel kononnya mengandungi jadual dan senarai nama individu tertentu, mendakwa SPR bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat penerbangan dalam isu itu.

Beliau yang enggan mendedahkan siapa pengirim e-mel berkenaan turut mendakwa ada kemasukan pengundi hantu melibatkan warga asing menerusi beberapa pintu masuk ke negara ini seperti Bukit Kayu Hitam dan Pelabuhan Klang.