KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tindakan segelintir pihak yang kononnya mahu 'merungkai sejarah' termasuk mendakwa Pulau Pinang milik Kedah, tidak sepatutnya dilakukan selepas negara mengecap kemerdekaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana tindakan tersebut boleh memberi implikasi besar kepada Malaysia dan negara-negara lain, yang mungkin juga berdepan tuntutan.

"Apa kata kalau sekarang ini, berdasarkan sikap melampau beberapa tokoh, Kerajaan Siam buka balik beberapa perjanjian Kedah, Perlis dan Siam itu? Kita akan hadapi masalah (kerana) selama ini tidak dibuka perjanjian itu.

"Jadi tak perlu kita buka perbincangan yang menikam kita kembali. Jadi itu pandangan saya," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang memaklumkan isu berkaitan Kedah-Pulau Pinang pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk menerusi penulisan-penulisan tokoh akademik.

Justeru, beliau meminta penjelasan apakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap penulisan-penulisan akademik tersebut.

Menjawab lanjut, Anwar berkata beliau tidak menghalang untuk mana-mana pihak membuat kajian, perbincangan, atau seminar tetapi tidak boleh sehingga melanggar prinsip Perlembagaan.

Perdana Menteri juga menolak dakwaan bahawa beliau tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi mengadakan perbincangan berhubung tuntutan bayaran pajakan Pulau Pinang.

Sementara itu, Anwar ketika menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

"Perjanjian bermula dengan Kerajaan Negeri dan Raja-Raja Melayu melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 21 Jan 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957.

"Ini telah diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk al-Marhum Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah," ujar Perdana Menteri.