PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar beliau mengenai isu dana kerajaan berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kewangan sudahpun dimaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana itu.

"Jadi saya nak berikan peringatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jangan cabar kerana memang ternyata ada proses dan prosedur yang tidak dipatuhi selain ada beberapa syarikat berkepentingan atau berkait dengan keluarga yang terlibat," katanya pada sidang media pertama selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kewangan, di sini, pada Selasa.

Tambah Anwar, biarpun pemimpin PN sebelum ini menguar-uarkan pentadbiran itu bersih, ia sebenarnya tidak bersih sama sekali. 

 Beliau berkata, apabila disebut mengenai kelulusan yang dibuat dalam pentadbiran PN, ia membabitkan isu atau perkara yang tidak mengikut peraturan termasuk kelulusan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

"Di Parlimen saya pernah sebut bahawa kenyataan itu sengaja mengelirukan seolah-olah kerajaan ketika itu memberi wang begitu banyak kepada rakyat RM600 bilion. "Sejumlah besar adalah wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), wang rakyat sendiri," katanya

Sementara itu, membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar berhubung dakwaan dana pilihan raya PN, Anwar meminta Takiyuddin  untuk tidak bersikap gopoh.

"RM600 bilion itu peruntukan sepenuhnya tetapi kita akan teliti di mana ada pelanggaran peraturan dan ketirisan.

 "Saya nak nasihatkan Takiyuddin jangan gopoh kerana saya di Kementerian Kewangan. Fail ada pada saya," katanya 

 Sebelum ini, Muhyiddin menyatakan tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika beliau menerajui kerajaan.

BACA: PN akan umum nama Ketua Pembangkang sebelum 19 Disember - Muhyiddin

Muhyiddin memberitahu, beliau yakin tidak melakukan penyelewengan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu orang ramai, terutamanya ketika pandemik COVID-19.