KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk mengekang suara oposisi dan menjejaskan reputasi PN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, turut menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu yang kini menghadapi pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di mahkamah.

"Pendakwaan ini dilihat dilakukan secara tergesa-gesa selari dengan naratif “hoi ya hoi di sebelah sana” yang sentiasa dimainkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023.

"Pas Selangor mendokong prinsip kedaulatan undang-undang negara dan yakin bahawa pihak berwajib berhak menyiasat mengikut undang-undang negara.

"Namun kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan suci hati dan hanya dalam kes tulen (collateral purposes) bukannya berpilih-pilih atas agenda dan kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Roslan Shahir turut  menyatakan Pas dan rakan sekutu di Selangor komited mendukung budaya politik matang, sejahtera dan akan terus membela golongan yang dizalimi tanpa mengira ras dan agama.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.