IPOH: Tuduhan kononnya UMNO menyerang badan kehakiman dalam rayuan kes SRC bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak benar.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekiranya ada pemimpin parti itu yang menyentuh mengenai mahkamah dan kehakiman, ia bersifat peribadi.

Menurutnya, kenyataan rasmi parti hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

“Kenyataan saya itu hari, tiada pun menyentuh dan mempersoalkan kewibawaan mahkamah, saya katakan saya rasa kecewa.

“Kecewa itu biasalah, semua orang kecewa kerana pada pandangan saya secara peribadi, orang yang dituduh perlu mendapat ruang seluas-luasnya untuk membela diri.

“Kita berharap supaya Datuk Seri Najib diberikan penghakiman yang adil. Saya tidak kata beliau bersalah atau tidak kerana itu terpulang kepada hakim yang bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi libat urus Biro Politik Bahagian-Bahagian UMNO Perak di sini, hari ini.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Prosiding rayuan akhir Najib


Beliau berkata, UMNO tidak pernah menyentuh kredibiliti sistem kehakiman dan tidak pernah meminta Perdana Menteri campur tangan dalam kes Najib.

“Parti tidak pernah mendesak untuk campur tangan, apa yang kita minta penghakiman perbicaraan yang adil, itu biasa dan orang kata tidak mencemar sesiapa

“Nak campur bagaimana, dia dah sampai Mahkamah Persekutuan, kalau nak campur dulu peringkat Mahkamah Tinggi, dekat Mahkamah tinggi pun kita tak campurkan,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini ramai orang berkata, jika UMNO memerintah, UMNO akan melepaskan Nakib.

“Tidak, perbicaraan (Presiden UMNO) Datuk Seri Zahid (Hamidi) masih berterusan dan Datuk Seri Najib dah sampai peringkat Mahkamah Persekutuan pun, masih tak ada UMNO campur tangan,” tambahnya.

Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah dan fitnah mengatakan kononnya jika UMNO menang kelak, mereka akan campur tangan dalam kes mahkamah (yang melibatkan pemimpin parti)