KUALA LUMPUR: Dana tambahan untuk menampung belanja bantuan konsular di luar negara antara yang dipohon Kementerian Luar dalam Bajet 2023 khusus bagi membantu kira-kira 2,500 rakyat Malaysia yang kini direkodkan masih ditahan atau terkandas di luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengakui sememangnya dana yang diperuntukkan sekarang tidak mencukupi bagi urusan menziarahi rakyat Malaysia yang ditahan di pelbagai lokasi untuk memastikan mereka ini sentiasa di dalam keadaan sihat dan selamat.

"Ringkasnya memanglah dana itu tak mencukupi dan kami berusaha mencarinya dan kami berharap dapat sedikit tambahan dalam masa akan datang," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) mengenai sama ada kerajaan akan menanggung semua kos untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan atau terkandas di luar negara termasuk denda dan kos pengangkutan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata dalam hal pengangkutan, kerajaan akan mendapatkan bantuan dari pihak berkaitan seperti syarikat AirAsia yang pernah membantu kerajaan sebelum ini untuk membawa pulang 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja.

Mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di empat negara Asia Tenggara iaitu di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand, beliau berkata setakat ini, 261 telah diselamatkan dan 88 lagi sedang dikesan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang mahu tahu sejauh mana hubungan diplomasi Malaysia dan empat negara terbabit, Saifuddin berkata Malaysia dan kesemua negara berkenaan mempunyai hubungan yang baik.

"Misalnya Perdana Menteri (Kemboja) Hun Sen sendiri memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan (Kemboja)...dan satu kumpulan 53 rakyat Malaysia dapat diselamatkan," katanya.

Saifuddin turut memberi jaminan kerajaan akan melakukan sehabis baik menyelamatkan rakyat Malaysia sekiranya dilapor hilang atau sebagainya di luar negara, walaupun hanya melibatkan seorang sahaja.

"Kita akan bantu dan tak akan biarkan begitu sahaja," katanya.

-- BERNAMA