ALOR SETAR: DAP berharap Kerajaan Negeri Kedah mempertimbangkan semula langkah tidak membenarkan premis perjudian dan loteri beroperasi di negeri itu bermula tahun ini.

Setiausaha DAP negeri, Teh Swee Leong berkata, tindakan itu akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan aktiviti perjudian haram.

“Saya melihat langkah itu wajar dipertimbang semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

"Saya berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dapat menarik balik arahan dan mengeluarkan lesen kepada pengusaha premis judi berlesen bagi memastikan keharmonian kaum.

"Bolehkah masalah maksiat dan sosial di negeri ini berhenti dengan berbuat demikian? Apa yang kita bimbang adalah kesudahannya nanti, aktiviti ini menjadi tidak terkawal dan sesiapa saja semakin bebas berjudi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman berkata, keputusan menyekat lesen judi yang dikawal undang-undang tidak akan menyelesaikan masalah maksiat dan sosial.

Tiada lagi premis judi, loteri di Kedah

BACA: Tiada lagi kedai judi di Kedah bermula hari ini

Beliau berkata, semua masalah berkenaan seharusnya diselesaikan melalui kaedah pendidikan kepada masyarakat terutama golongan muda.

Swee Leong berkata, pihaknya juga berasa kecewa dengan keputusan kerajaan negeri kerana ia turut menjejaskan pekerja dalam sektor berkenaan.

Semalam, Astro AWANI melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.