KUCHING: DAP Sarawak membantah dan tidak akan menyokong sebarang cadangan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika negara berdepan bencana banjir.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata jika diteruskan, kerajaan terpaksa mengerah tenaga ribuan penjawat awam untuk bertugas sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Perkara itu tegasnya akan menjejaskan operasi menyelamat dan menyediakan kebajikan mangsa-mangsa banjir di seluruh negara yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.

“Apabila kerajaan sudah menjangkakan berlakunya banjir, bagaimana ia akan membolehkan pilihan raya diadakan dan alangkah baiknya jika penjawat awam, anggota keselamatan yang bertugas semasa pilihan raya ini dimanfaatkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

“Sementara di Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah pun menyenaraikan 310 lokasi kerap berlaku banjir... jika jangkaan banjir seperti ini telah dibuat dan kerajaan mahu fokus kepada situasi ini, saya rasa kita tidak perlukan pilihan raya ketika ini,” katanya semasa Sidang Media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Stampin itu juga menggesa kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem pengairan di seluruh negeri itu bagi meningkatkan keberkesanannya dalam mengurangkan jumlah lokasi terjejas.

Jelasnya, penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) tidak akan menyelesaikan masalah banjir dengan segera tanpa sistem pengairan yang efektif.

“Kerajaan negeri perlu segera bina infrastruktur pengairan yang baik, menambah jumlah terowong banjir atau sungai untuk mengeluarkan air dengan lebih pantas daripada kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlaku banjir tersebut

“Ironinya adalah apabila berlaku banjir, kerajaan akan sentiasa menjangka bila ianya akan berlaku dan menyediakan PPS untuk mangsa, tetapi bagaimana dengan infrastruktur untuk menangani isu ini yang akhirnya rakyat masih menderita, barang mereka musnah, dan tanaman mereka juga akan mati,” ujarnya lanjut.

Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengenal pasti 310 kawasan kerap berlaku banjir di tujuh bahagian sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negeri itu Disember tahun ini sehingga Januari tahun depan.

Ini termasuk persediaan lebih 5,300 pegawai, anggota keselamatan dan kakitangan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang akan bertugas di 631 pusat pemindahan yang mampu menempatkan sehingga 188,360 penduduk di sekolah dan dewan masyarakat.