Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tetap dengan keputusan untuk melabelkan empat Exco Selangor dari Pas sebagai “pengkhianat”.

Lapor New Straits Times, Lim berkata keputusan untuk melabelkan empat lelaki itu sebagai pengkhianat bukan satu keputusan peribadi tetapi dibuat secara sebulat suara ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP (CEC) pada malam Isnin.

"Ia adalah pendirian parti.

"Ia merupakan satu keputusan semasa mesyuarat tergempar CEC dan saya telah mengumumkan itu sebagai setiausaha agung parti itu," kata Lim.

Lim dilaporkan menuduh empat ahli exco itu mengkhianati prinsip-prinsip perpaduan dan demokrasi selepas gagal untuk meletakkan jawatan bersama-sama dengan enam ahli exco dari PKR dan DAP yang dipecat.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi menuduh Lim gagal untuk memahami perlembagaan Selangor dan menganggap Lim sebagai 'jahil' dan 'mementingkan diri sendiri'.