PUTRAJAYA: Individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian atau berkenderaan dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) perlu mendapat permit kemasukan hutan daripada Pejabat Hutan Daerah masing-masing terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Mohd Ridza Awang berkata berdasarkan maklumat orang awam dan rondaan penguat kuasa di kawasan HSK, terdapat individu yang memasuki HSK tanpa permit.

Terbaru dilaporkan 13 penunggang motosikal motocross ditahan kerana menceroboh kawasan HSK di Terengganu dan didapati tidak mempunyai sebarang permit.

Bercakap kepada Bernama selepas menghadiri Program Berbasikal Penghijauan Malaysia di sini semalam, Mohd Ridza berkata keingkaran mendapatkan permit masuk HSK boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

"Aktiviti termasuklah pendakian, motocross dan kenderaan berpacuan empat roda. Selain rekod jabatan, permit juga penting sekiranya berlaku bencana seperti kemalangan dan kehilangan individu itu sendiri dalam hutan," katanya.

Program berkenaan anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, JPSM dan Perbadanan Putrajaya bersempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021 turut disertai Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berbasikal secara berkumpulan dari kementeriannya di Presint 3 ke pesisir tasik Presint 19 untuk menanam pokok jenis Cempaka.

Aktiviti pendakian dan rekreasi lasak seperti motocross merupakan antara aktiviti yang dibenarkan di negeri Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). [Rujukan: Pelan Pemulihan Negara – Fasa 3 SOP Sektor Ekopelancongan Sumber Asli (Taman Eko Rimba & Hutan Taman Negeri)]

Mohd Ridza berkata orang ramai disaran mendapatkan permit masuk HSK lebih awal dari perancangan tarikh aktiviti kerana kapasiti kehadiran adalah terhad.

Menggunakan konsep 'siapa cepat, dia dapat', permit berkenaan terhad kepada 50 orang sahaja pada hari biasa dan sehingga 100 orang pada hujung minggu, bergantung kepada kapasiti HSK tersebut.

"Harga permit adalah berbeza bagi setiap negeri dengan caj minimum dan setiap individu perlu mendapatkan permit masing-masing biarpun aktiviti dijalankan secara berkumpulan," katanya.

Bagi aktiviti riadah di taman eko rimba pula, Mohd Ridza berkata ia terbuka kepada pengunjung awam namun disarankan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan COVID-19.

-- BERNAMA