KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang digubal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memperkasakan pengurusan risiko bencana.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana dan meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana.

Selain itu, ia juga merangkumi aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi serta memperhebatkan langkah kesiapsiagaan nasional.

"Saya juga telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Nadma bahawa salah satu dari usaha yang telah dijalankan oleh pihak Nadma untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam mengenai risiko-risiko bencana yang terdapat di Malaysia adalah melalui penerbitan dokumen National Risk Register (NRR) for the public.

"Dokumen ini telah disediakan oleh Nadma dengan kerjasama rakan strategik Nadma iaitu South East Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI-UKM) dan dokumen ini yang saya akan dilancarkan pada 28 Oktober nanti, InsyaAllah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Webinar Risiko Bencana Di Era Perubahan Iklim Panel Pakar Sains dan Teknologi Untuk Pengurangan Risiko Bencana anjuran Nadma.

Perdana Menteri berkata inisiatif berkenaan merupakan usaha yang amat baik untuk menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di negara ini, jenis-jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang mana boleh dijadikan rujukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan sama ada untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko.

Selain itu, tambah beliau, strategi, pelan tindakan dan program pengurangan risiko bencana yang dibangunkan perlu mengarusperdanakan Pengurangan Risiko Bencana dalam semua sektor termasuk ekonomi, pendidikan serta kesihatan.

Katanya lagi, pendekatan sains dan teknologi adalah langkah penting dalam mengintegrasikan pengurangan risiko bencana dengan adaptasi perubahan iklim. 

"Suka saya tekankan di sini, dalam mendepani risiko bencana, kesejahteraan Keluarga Malaysia merupakan prasyarat utama, kita menyasarkan rakyat yang sentiasa peka terhadap risiko bencana, mempunyai daya tahan dan berkebolehan dalam mengadaptasi keadaan bencana dalam era perubahan iklim ini.

"Saya berharap sesi Webinar ini akan membantu meningkatkan kefahaman kita semua mengenai landskap risiko bencana dalam situasi iklim dunia yang berubah serta mengenal pasti cabaran sains, teknologi dan inovasi bagi menangani risiko bencana di Malaysia dan rantau ini," ujarnya.

Perkasa Pengurusan | Dasar Pengurangan Risiko Bencana digubal - PM

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan memandang serius akan impak perubahan iklim dan peningkatan kesan bencana pada masa akan datang dengan mengambil kira Laporan Human Cost of Disasters 2000-2019 oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR).

Katanya, perkara itu ditekankan dalam Strategi Utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu untuk meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana ke arah melestarikan agenda pertumbuhan hijau negara.

"Kita sedar bahawa bencana adalah sesuatu impak yang tidak dapat dielakkan, namun impak bencana boleh dikurangkan melalui inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction - DRR).

"Saya melihat bencana bukan sahaja daripada aspek kerosakan yang dibawa, tetapi juga daripada sudut positif di mana ianya adalah peluang untuk kita belajar, mengambil pengajaran serta iktibar agar kita lebih bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana pada masa hadapan.

"Ini boleh dilaksanakan menerusi inisiatif Communication, Education and Public Awareness (CEPA) yang saya uar-uarkan semasa pembentangan RMK12 pada 27 September lalu," katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata komunikasi, pendidikan serta kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam pengurangan risiko bencana.

Ini termasuk pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan menggalakkan keterlibatan golongan muda dan belia dalam kesedaran awam, seterusnya memacu perubahan tingkah laku ke arah komuniti berdaya tahan bencana.