KUALA LUMPUR: Bilangan keciciran murid sebanyak 100,000 orang yang dianggarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Untuk Malaysia adalah tidak tepat, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan sehingga Jun tahun lepas, kadar keciciran murid di seluruh negara pada peringkat sekolah rendah ialah sebanyak 0.07 peratus manakala di peringkat sekolah menengah sebanyak 0.99 peratus.

"Ini disebabkan penggunaan kaedah penganggaran dan definisi keciciran yang digunakan adalah berbeza dengan definisi KPM.

"Definisi yang digunakan oleh pertubuhan tersebut merangkumi keciciran murid daripada sistem pendidikan termasuk bilangan murid yang mendaftar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi tidak hadir dan gagal mendapatkan sijil," menurut kementerian itu.

Penjelasan KPM ini bagi menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu pelan pemulihan dan bentuk kerjasama antara kementerian mengenai dakwaan pelajar tercicir hampir 100,000 sebagaimana dianggarkan pertubuhan Untuk Malaysia.

KPM memaklumkan definisi keciciran adalah murid warganegara Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi keluar daripada sistem sebelum tamat tempoh pendidikan.

Kementerian itu antara lain telah menjalankan program outreach murid cicir di semua pejabat pendidikan daerah dengan kerjasama komuniti setempat bertujuan memberi intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah.

Hasil daripada pelaksanaan program itu, 5,121 murid sekolah rendah dan 1,711 murid sekolah menengah telah kembali ke sekolah berdasarkan data murid kembali ke sekolah Jabatan Pendidikan Negeri pada 2022., menurut KPM.

Dalam perkembangan lain, KPM memaklumkan 600 calon guru melibatkan pelbagai opsyen mata pelajaran dijangka ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) secara berperingkat tahun ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

"KPM dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan melaksanakan pengambilan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mengatasi isu kekurangan guru," menurut kementerian.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai langkah KPM bagi mengatasi isu kekurangan guru Bahasa Cina dan Tamil di sekolah bantuan kerajaan.

Menurut KPM, antara langkah penyelesaian bagi mengatasi isu tersebut adalah dengan membuat penambahbaikan dalam proses pengambilan guru ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Justeru, KPM telah membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat mengikuti PISMP untuk membuat permohonan bagi bidang pengkhususan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil sekolah rendah KPM dengan tambahan mata pelajaran elektif seperti Pendidikan Seni Visual, Reka Bentuk dan Teknologi serta Pendidikan Jasmani mulai tahun ini.

-- BERNAMA