KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti rekod penyewa untuk mengkaji dakwaan wujud golongan yang tinggal secara percuma sehingga 12 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, setakat ini beliau belum dapat mengesahkan sekiranya terdapat penghuni yang kononnya tinggal selama tempoh yang didakwa  itu benar-benar tidak membayar sewa atau mempunyai masalah lain.

Bagaimanapun, jelas Mahadi, beberapa program susulan telah dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar khusus untuk menangani isu tersebut dan hasilnya jumlah kutipan sewa kembali meningkat.

“Kalau yang 12 tahun tak bayar sewa itu saya tak (begitu) pasti, duduk berapa lama di sana, ada bayar atau tidak bayar in between ke atau ada masalah tertentu.

“Tapi kita sudah pun beri arahan kepada jabatan berkaitan perumahan untuk kaji terperinci, apakah punca utama berlaku tunggakan begitu lama, apakah tindakan paling sesuai bagi mengambil tindakan atau memberi satu solusi, cadangan terbaik untuk kita laksanakan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Aidilfitri anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan di Cheras, hari ini.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai serta pegawai-pegawai kanan KWP dan DBKL.

Sebelum ini media melaporkan terdapat golongan yang tinggal secara ‘percuma’ di PPR dan PA tanpa mahu membayar sewa.

"Julat tunggakan penyewa yang dipanggil untuk sesi bersemuka ini adalah antara RM9,325 dan RM46,742.90 yang tertunggak antara tempoh lapan tahun hingga 12 tahun,” menurut seorang jurucakap DBKL yang dipetik media berkenaan.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, pihaknya juga akan melihat dakwaan penduduk PPR atau PA yang sengaja menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga termasuk pendatang asing.

“Kalau ada maklumat, kita memang bertindak tegas, kalau mereka betul-betul melanggar peraturan seperti menyewakan unit kepada orang lain itu tidak boleh, tak boleh kompromi. Ada fakta, tindakan segera atau bawa dan pergi sewa kepada pendatang asing, pun tak boleh. Ini perkara tak boleh kompromi dan tindakan diambil segera.

“Namun tidak ada maklumat, tidak sampai ke pegawai kita, tapi kerana ada desas-desus, kita siasat, dan gunakan intipan tertentu untuk pastikan rumah itu tidak melanggar peraturan,” katanya lagi.