KUALA LUMPUR: Menyertai misi kemanusiaan kali pertama ke negara yang telah melalui perang selama sedekad sudah pasti mengundang debaran kepada pengacara televisyen dan juga model iklan Trivago, Dahlia Shazwan.

Dahlia yang berusia 33 tahun merupakan duta Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia For Syria (MFS) menyertai Misi Kempen Musim Sejuk Syria siri ke-10 yang bermula pada Isnin depan bersama tujuh lagi sukarelawan.

Ditanya mengenai risiko dan cabaran yang dihadapi di negara konflik itu, ibu kepada seorang anak ini tidak menyembunyikan kebimbangannya namun beliau sendiri mempunyai misi peribadi iaitu membuktikan kepada diri sendiri keprihatinan dan sifat kemanusiaan yang ada dalam dirinya.

"Saya dengar kisah kawan-kawan saya yang telah pergi dan kesungguhan mereka benar-benar memberi inspirasi kepada saya.

"Bukan hanya saya sekadar muatnaik di media sosial, saya nak lihat sendiri dan mahu belajar untuk memahami apa yang berlaku di Syria supaya saya dapat menjelaskan kepada orang ramai mengapa kita perlu membantu saudara-saudara kita di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ketika pelepasan misi Musim Sejuk Syria 10.0, pada Sabtu.

BACA: MFS sasar RM500,000 dana bantu pelarian Syria hadapi musim sejuk

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menganggarkan seramai lebih 500,000 maut akibat perang yang telah mencapai usia lebih sedekad sejak 2011.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat Januari 2021, 13.3 juta penduduk yang berada di dalam Syria memerlukan pelbagai bentuk bantuan Kemanusiaan.

Situasi di Syria dikategorikan sebagai krisis pelarian terbesa di dunia pada zaman moden dengan 5.5 juta pelarian Syria berada di sekitar Turki, Lubnan, Jordan, Mesir dan Iraq manakala 6.7 juta lagi berada di dalam Syria namun hidup sebagai pelarian.

Walaupun gusar, Dahlia yang juga penerbit beranggapan ia satu cabaran yang perlu dilalui apabila berada di kawasan konflik dan beliau teruja untuk mengetahui impak dan kesan terhadap dirinya selepas menyertai misi kemanusiaan itu.

"Dekat mana-mana pun kalau ada benda dah di takdirkan berlaku, ia tetap berlaku juga dan secara realistiknya rasa takut itu memang ada kerana Syria negara perang. Ada rakan-rakan yang dah pergi cakap ada bunyi bom dan jika kita pergi pusat rehabilitasi kita akan lihat realiti apa yang berlaku di sana.

"Seperti kita lihat di media sosial kita boleh 'swipe up down' untuk tidak mahu melihat tetapi di sana kita kena hadapinya dan kita belajar untuk menerima, mungkin apabila kita pulang ke Malaysia kita boleh sebarkan kesedaran dengan lebih baik sebab memahami apa yang berlaku dan ini satu cabaran buat diri saya," jelasnya.