KUALA LUMPUR: Persetujuan sudah ada, kini menuggu tarikh bilakah akan diadakan perdebatan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak mengenai isu Sapura Energy.

Bagaimanapun, sebelum ini dikhabarkan akan dilakukan selepas Aidilfitri, tetapi masih belum dapat satu kata putus muktamad daripada kedua-dua pihak.

Penyelaras yang mewakili Presiden PKR dan bekas Perdana Menteri itu dikatakan sudah bertemu bagi memperincikan mengenai tarikh dan masa.

Namun, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, kononnya pihak Anwar sudah bersetuju tarikh debat selepas Aidilfitri adalah tidak benar sama sekali.

“Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil, dan Najib Razak kata kononnya Anwar Ibrahim sudah setuju tarikh lepas Hari Raya. Mana ada, kita belum setuju pun. Semua masih dalam perbincangan dan belum diputuskan,” jelas Fahmi dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jelas Fahmi, pada 13 April, pihaknya ada bertemu Isham bagi menyegerakan tarikh debat, namun perkara itu juga masih dalam perbincangan.

“Semalam, 13 April 2022, dalam pertemuan jam 4 petang (Isham bertiga, saya juga bertiga), saya ulang pendirian Anwar supaya debat diadakan secepat mungkin dalam bulan Ramadan, dan Isham tetap dengan pandangan masa sesuai ialah selepas Hari Raya. Beberapa tarikh khusus dibincang tapi belum dimuktamad.

“Kami juga bersetuju pemakluman debat akan dibuat secara bersama dalam satu sidang media hujung minggu ini.

“Jadi, sebarang tarikh yang dibayangkan Isham atau Najib itu belum dipersetujui atau disahkan. Bukan 'fait accompli'. Kita ikutlah proses,” jelasnya lagi.

Hantaran Facebook oleh Fahmi itu bagi menjawab dakwaan Isham bahawa PKR cuba memusingkan fakta berkaitan persetujuan tarikh debat selepas Aidilfitri yang telah dipersetujui PKR.