IPOH: Pihak yang menjalankan aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Manjung sudah beberapa kali diberi amaran oleh pihak berkuasa supaya menghentikan kerja di tapak namun tetap berdegil walaupun tidak memperoleh sebarang kebenaran.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, kerja-kerja di tapak itu dikesan sejak November lepas dan pihaknya dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengarahkan supaya ia dihentikan sementara menunggu kelulusan.

"Tiada apa-apa kelulusan atau kebenaran dikeluarkan di kawasan tanah milik syarikat perindustrian itu setakat ini. Memang ada permohonan dibuat tetapi perlu dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk diperhalusi dan mendapatkan ulasan termasuk dari segi teknikal," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan semakan ke atas permohonan, pihak syarikat itu berhasrat membangunkan kawasan berkenaan yang mempunyai potensi aktiviti perlombongan pasir silika.

Bagaimanapun katanya keadaan kini terkawal dan pasukan PTG Perak bersama MPM telah meninjau kawasan tapak bagi pemantauan supaya pasir berkenaan tidak dipindahkan keluar dari kawasan pendaratan penyu di pantai berkenaan.

Ditanya sama ada terdapat kegiatan mengorek pasir secara haram di kawasan lain di Perak, Mohamad Fariz berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan setakat ini.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam menerusi Twitter sebelum ini memuat naik dua keping gambar memaparkan aktiviti mengorek pasir di kawasan itu yang merupakan zon sensitif alam sekitar tahap satu.

Menurut persatuan itu kawasan sensitif alam sekitar tahap satu adalah kawasan yang tidak boleh dijalankan sebarang jenis aktiviti pembangunan selain pelancongan terkawal dan penyelidikan sebagaimana dinyatakan dalam peraturan atau Rancangan Fizikal Negara serta Rancangan Tempatan.

Bernama sebelum ini melaporkan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) tidak menerima sebarang permohonan dan tiada kebenaran dikeluarkan pihak tersebut sehingga hari ini malah telah mengarahkan kerja-kerja projek itu dihentikan serta-merta.

-- BERNAMA