BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Namun, berat manapun rasanya di mata anda, hakikatnya lebih berat beban dipikul mereka yang ditimpa musibah, kadangkala langsung tidak mampu diungkap perasaannya.

Daripada bahasa badan, riak wajah dan renungan mereka, tersembunyi kesedihan yang disorok serapi mungkin, sebaliknya ditonjolkan pula kekuatan demi nampak 'gagah' di hadapan insan tersayang.

Mungkin itulah yang cuba diserlahkan pasangan Misron Selamat, 54, dan Norsila Zulkamal, 50, dari Sungai Serai, Hulu Langat.

Bengkel motosikal mereka yang diusahakan sejak puluhan tahun lepas merupakan antara mangsa 'dahsyatnya' banjir di Hulu Langat.

 Bengkel motosikal Misron dan Norsila antara mangsa 'dahsyatnya' banjir di Hulu Langat.

Sibuk membersihkan bengkel, kadangkala Misron menggaru kepalanya yang tidak gatal, hanya reaksi spontan tatkala otak ligat berfikir apa mahu dibuat dan apa pula nasibnya kelak.

Hari pertama melihat bengkelnya musnah, bapa kepada tujuh anak itu mengakui hampir hilang semua semangatnya.

"Memanglah mula-mula ni semangat dah tiada, nak fikir pun malas... tapi memandangkan nak teruskan hidup, nak kena teruskan jugalah, nak kena kuat, nak buat macam mana.

"Kena kembalikan semangat dululah, buka kedai balik, buat rumah balik... demi anak-anak sebab anak-anak ramai lagi masih sekolah.

"Tak boleh buat apa dah, kena kuat jugalah," kata Misron ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri

Perasaan apa saja tidak menerjah sanubarinya. Sedih, terkilan, kecewa, namakan saja, semuanya bercampur dan kadangkala terasa hendak menangis.

Namun, demi anak dan keluarga, Misron menanam tekad baharu, bangkit semula walau besar dugaan melanda.

Penghujung tahun 2021 mungkin amat pahit buatnya namun sinar harapan tetap bercahaya untuk 2022.

"Rasa sedih, menangis... sampai nak buka pintupun (pintu bengkel) tak sanggup, tengok barang sana, tengok barang sini.

"Kecewalah tapi apa boleh buatkan, semua orang kena, satu Hulu Langat kena. Jadi tiadalah ambil hati sangat, kita buat sama-sama," ujarnya.

Kata-katanya mungkin bernada sedih dan kecewa namun lontaran suaranya disulami kekuatan untuk menempuh cabaran mendatang.

Dugaan mereka sebenarnya berganda, bukan hanya bengkel, rumah malah kereta juga rosak akibat banjir kerana semuanya di lokasi berdekatan.

Dalam bulan Disember 2021, sudah tiga kali rumah mereka dinaiki air.

 Bengkel motosikal Misron dan Norsila antara mangsa 'dahsyatnya' banjir di Hulu Langat.

Bagi isterinya, Norsila, berpindah terus mungkin bunyinya lebih baik namun hakikatnya, keadaan belum mengizinkan buat mereka.

"Kalau ikut anak-anak, memang mereka nak pindah tapi rezeki kita di sini. Cari di sini, buat di sini. Selagi anak-anak sekolah, inilah tempat nak cari rezeki.

"Tempat lain belum tentu lagi apa nasib kami. Pelanggan suami pun banyak di sini. Jadi kalau kita pergi tempat lain, nak cari pelanggan lain (susah).

"Buat masa ini, menetap di sini dulu, terima saja dugaan apa yang Allah bagi. Berat sangat kali ini Allah bagi tapi kita kena redalah dengan ketentuan Allah," katanya dalam nada sebak.

Kisah mereka sebenarnya ibarat setitis air di lautan kerana bukan hanya mereka, ramai lagi rakyat Malaysia berdepan situasi sama, bahkan ada yang lebih sukar akibat banjir besar yang mengejutkan negara Disember lalu.

Begitulah realitinya.

Realiti pahit yang hampir setiap tahun disajikan berita hampir serupa dan dari tahun ke tahun juga, kisahnya sentiasa ada, penyelesaiannya saja masih belum jumpa.

Bagi anda yang ingin membantu, bolehlah salurkan bantuan anda kepada akaun Maybank Norsila Zulkamal (Nombor akaun: 1142 8113 5706).

Semoga sumbangan anda sedikit sebanyak meredakan gundah mereka sekeluarga.