JEMPOL: Seorang lelaki dan dua wanita yang disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun direman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Pilah, Saiful Sayoti bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Reman terhadap tiga individu berumur 21 hingga 42 tahun yang juga merupakan ibu bapa saudara serta sepupu kepada kanak-kanak perempuan itu bermula Ahad sehingga 6 Ogos ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak cedera pada keseluruhan badannya antaranya kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan apabila disyaki menjadi mangsa dera.

Mangsa disyaki didera sejak Mei lalu sebelum diselamatkan oleh ibu saudaranya dan laporan polis telah dibuat oleh ibunya pada 27 Julai lepas.

Ibu kanak-kanak terbabit menghantar anaknya itu untuk dijaga oleh individu berkenaan dengan bayaran RM300 sebulan kerana bekerja di Johor.

Mangsa dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah selain kes dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) daerah Jempol. -Sinar Harian