JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, memberikan sumbangan untuk menambah baik Pusat Temu Duga Kanak-kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Tunku Ismail berkongsi perkara itu dalam hantaran terbaru di laman sosianya selepas lawatan ke CIC berkenaan bersama isterinya, Che’ Puan Besar Khaleeda.

"Istana Johor dan Kerajaan Negeri Johor akan memberikan sumbangan untuk tambah baik CIC ini, memperkasakan kekuatan pasukan polis D11 dan untuk menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar serta di Iskandar Puteri.

"Ia bagi melancarkan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak di Johor.

"Saya juga ingin menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk bekerjasama dengan PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dengan garis panduan daripada UNICEF untuk melaksanakan pelbagai usaha untuk menambahbaik SOP dan prosedur yang ada serta meningkatkan kesedaran awam.

"Saya secara tegas berpandangan apa jua bentuk penderaan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan.

"Menjadi tanggungjawab semua bangsa Johor untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di negeri ini," katanya.

Turut serta dalam lawatan itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On.

Hadir sama Ketua Polis Johor,  Datuk Kamarul Zaman Mamat.