Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengatakan apa sahaja mengenai kemasukan dana RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas pemimpin itu dalam akaun peribadinya.

Apa yang lebih jelas, katanya Arab Saudi telah menafikan memberi derma kepada Najib.

Sehubungan itu, Tun Dr Mahathir berkata terpulang kepada mana-mana pihak sama ada untuk mempercayai kata-kata Najib atau sebaliknya.

"Beliau (Najib) boleh cakap apa sahaja yang dia suka. Jika kamu mahu mempercayainya, terpulang. Perlu ada bukti cukup untuk membuktikan dakwaan itu, atau dia akan terus didakwa. Apa yang lebih penting, sama ada undang-undang mahkamah mengatakan wang berkenaan adalah dari luar atau dari Arab Saudi, orang ramai akan bertanya juga bagaimana boleh dikatakan begitu?

"Mungkin akan dikatakan (beliau) ada bukti. Namun, sekarang mereka (Arab Saudi) menafikan memberikan dana tersebut," katanya.


Tun Dr Mahathir berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 dan Tadbir Urus Yang Baik dan Integriti bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan di sini hari ini.

Malah, Perdana Menteri menegaskan, jika benar Najib tidak melakukan rasuah, beliau awal-awal lagi sudah mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang membuat dakwaan berkenaan.

"Seluruh dunia tahu, Malaysia (kerajaan sebelum ini) dikenali sebagai kleptokrasi dan ia didedahkan semua termasuk di Wall Street Journal. Jika dia bebas rasuah, jadi kenapa dia tidak mengambil tindakan... kepada mereka yang membuat dakwaan itu?

"Namun, dia tidak membuat tindakan itu dan sekarang dia didakwa berdasarkan laporan dibuat bukan sahaja oleh media antarabangsa terlibat, malah laporan dibuat oleh agensi-agensi di sini yang berjaya menjejaka aliran dana berkenaan," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir dipetik sebagai berkata, Kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib.

Tun Dr Mahathir berkata apa yang penting ialah bukti dalam bentuk dokumen duit itu datang dari 1MDB ataupun Arab Saudi.