KUALA LUMPUR: Dewan Negara pada Selasa telah meluluskan bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 atau Akta Antilompat Parti dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sewaktu mengumumkan perkara itu berkata, jumlah Ahli Dewan Negara yang menyokong ialah seramai 52 orang, sementara tujuh orang lagi tidak hadir.

Terdahulu, sewaktu menggulung RUU tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini merupakan satu sejarah memandangkan ia adalah RUU kedua yang digubal badan Parlimen sendiri.

“Untuk maklumat, ini adalah undang-undang kedua Malaysia yang digubal oleh Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas. Yang pertama ialah penggubalan pindaan kepada Rang Undang Undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 2006.

“Ini adalah yang kedua. Maknanya ini sejarah kepada negara kita kerana undang-undang yang bukan digubal terus dari agensi. Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang adalah penyokong dan pembantu kepada kita semua untuk menggubal RUU ini. Kita ini sebahagian daripada sejarah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wan Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, kerajaan Persekutuan tidak akan memohon untuk semakan kehakiman terhadap kes Nordin Salleh pada 1992, kerana Persekutuan bukanlah parti dalam kes tersebut.

Katanya lagi, dua parti dalam kes tersebut ialah antara Datuk Nordin Salleh bersama Wan Najib Wan Mohamed dan pihak yang dituntut ialah kerajaan Kelantan.

“Dalam hal ini memandangkan kerajaan Persekutuan bukan pihak kes tersebut, dengan izin not a party to the case. Maka keputusan untuk semak kes tersebut diputuskan oleh mahkamah dalam kes tersebut, bukan kerajaan Persekutuan.

“Kelantan sepatutnya mengambil inisiatif untuk membuat semakan kehakiman tersebut,” katanya dalam penggulungan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan beberapa Ahli Dewan Negara yang mahu mengetahui sekiranya kerajaan mempunyai cadangan untuk melihat semula Aturan 37 Kaedah Mahkamah-mahkamah Persekutuan 1995.

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghantar surat kepada semua kerajaan negeri bagi memastikan penyeragaman pelaksanaan Akta Antilompat Parti.

“Selepas kita luluskan undang-undang di sini, saya akan bermohon dengan Perdana Menteri, dan beliau akan mengutuskan surat kepada semua surat kepada semua negeri, sebagaimana kita seragamkan semua pindaan di semua negeri.

“Perlu ikut jadual jadulan yang kita pinda sebagaimana yang kita sebut dalam pindaan ini. Supaya tiap tiap negeri akan ada penyeragaman bersama dengan apa yang kita lihat di peringkat Persekutuan,” katanya lagi.