Dewan Negara lulus RUU Langkah Sementara Kurangkan Kesan COVID-19

Bernama
September 22, 2020 12:17 MYT
Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga.
Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang bersifat menyokong inisiatif pemulihan ekonomi oleh kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shabudin Yahaya itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga.
Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Shabudin berkata tiada individu yang diambil tindakan muflis dalam tempoh negara dilanda penularan COVID-19.
"Ini kerana dalam tempoh tersebut kita istilahkan sebagai 'freeze'. Malah, bank-bank juga tidak ambil sebarang tindakan, dan dalam keadaan tersebut kita harap ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan," katanya.
RUU itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara untuk mengurangkan kesan COVID-19, termasuk mengubah suai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah dan Ordinan Had Masa Sarawak.
Akta lain ialah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967; Akta Perlindungan Pengguna 1999; Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Dewan Negara #ekonomi #kerajaan #koronavirus #mahkamah #menteri #PENJANA #Perdana Menteri #undang-undang