KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia melihat ada keperluan untuk pemberian vaksinasi bagi kanak-kanak di antara 5 hingga 11 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemerhatian kerajaan mendapati, pembukaan sektor sosial menyebabkan kanak-kanak lingkungan umur berkenaan turut terdedah kepada COVID-19, tanpa sebarang perlindungan.

“Kita nak lindungi anak-anak kita, seperti mana kita jalankan vaksinasi pada remaja lingkungan 12 - 17 yang kini capai pada tahan 85.9 peratus, kadar vaksinasi untuk anak-anak tersebut.

“Apabila kita benarkan pergerakan, kita bawa anak kita ke Langkawi, kenduri kahwin, mereka ini tak dilindungi, berdasarkan sains. Jadi kerajaan hari ini akan berusaha mengadakan vaksinasi untuk kanak-kanak berusia antara 5 hingga 11 tahun,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang ingin mengetahui tahap pertimbangan kerajaan untuk vaksinasi kanak-kanak antara 5 hingga 11 tahun.

Pada 29 Oktober lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.
Katanya lagi, berkata, pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.

Terdahulu, Dr Noor Azmi berkata, rakyat diseru untuk segera mendapatkan dos penggalak, sekiranya mereka mempunyai temu janji yang ditetapkan.

Beliau berkata, setakat ini tiada maklumat terperinci mengenai varian baharu Omicron, ciri-cirinya, atau sejauh mana kadar kebolehjangkitannya, berbanding varian terdahulu.

“Pertubuhan Kesihatan telah namakan omicron, dan telah menjadikan dia salah satu VOC (variant of concerns). Kita tak tahu keterukan, sejauh mana vaksin boleh menangkis varian ini, kita tak tahu tahu regim ubatan sekarang dapat merawat penyakit ini.

“Sebab itu rakyat kena, walaupun kita dah berada di fasa empat, bebas bergerak, mula adakan aktiviti sosial, rakyat selalu berjaga-jagaj, supaya kita sama-sama dapat hindarkan diri dari COVID-19,” katanya lagi.