KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di peringkat akhir untuk mengemukakan dasar dan hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal negara dalam mempercepat peralihan daripada konsep pengurusan sisa pepejal secara ekonomi linear kepada ekonomi kitaran.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah tersebut termasuk KPKT sedang dalam tindakan melaksanakan semakan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi mengukuhkan elemen ekonomi kitaran.

Jelas beliau, pelaksanaan ekonomi kitaran berupaya meningkatkan nilai keseluruhan rantaian pengurusan sisa pepejal termasuk sisa makanan yang akan mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan.

"Untuk makluman, penguatkuasaan Akta 672 ketika ini telah mencakupi semua jenis sisa pepejal terkawal termasuklah sisa makanan.

"Walau bagaimanapun, pelaksanaan akta ini adalah terhad kepada sektor isi rumah dan industri, komersial dan institusi (ICI) dan sektor pembinaan di negeri-negeri yang menerima Akta 672 sahaja, serta tidak merentasi kesemua sektor pembuatan makanan atau industri makanan secara keseluruhannya serta hanya melibatkan sebanyak tujuh negeri sahaja," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengenai keperluan mewujudkan akta berhubung dengan isu pembaziran makanan di Malaysia yang setiap tahun semakin membimbangkan.

Mengulas lanjut, Reezal Merican (BN-Kepala Batas) berkata, menerusi semakan semula akta yang sedang dilaksanakan ketika ini, KPKT berhasrat memberi tumpuan dan mengkaji kaedah untuk memantapkan lagi pengurusan sisa makanan supaya ia lebih sistematik dan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Sebagai permulaan, beliau berkata KPKT dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar Jepun (MOEJ) sedang membangunkan garis panduan pengurusan sisa makanan.

"Dengan kerjasama ini, kementerian akan turut mencontohi kejayaan negara tersebut dalam mewujudkan perundangan khusus yang menyokong pengurusan sisa makanan yang lestari," ujarnya.

Ketika ini, beliau berkata negara menjana sekitar 38,000 tan metrik sisa pengurusan pepejal sehari, dengan hampir 45 peratus daripada jumlah tersebut adalah sisa pepejal makanan.

Justeru, dalam memantapkan pengurusan sisa makanan, Reezal Merican menambah KPKT, antaranya menganggotai Regional Working Group yang dianjurkan United Nations Environment Programme (UNEP) sejak 2021.

Ia bagi membangunkan Food Waste Index (FWI) untuk mensasarkan penurunan sisa makanan di premis kediaman, premis penyediaan makanan dan peruncitan.