KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan rakyat kini beranggapan bahawa Dewan Rakyat telah dicemari dengan amalan korupsi politik.

Beliau berkata, masyarakat berasakan bahawa institusi tersebut kini sudah dipengaruhi dan dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu dan tidak lagi dijadikan sebagai tempat untuk mendengar masalah.

"Kita kini sedang menghadapi krisis dimana rakyat menganggap Dewan Rakyat gagal menjalankan tugasnya. Keadaan ini seolah-olah seperti sudah jatuh ditimpa tangga oleh kerana orang ramai berada di dalam keadaan terdesak dimana mereka menghadapi penderitaan amat sangat yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Pada pandangan orang ramai, Dewan Rakyat tidak lagi dihormati dan disanjungi seperti suatu ketika dahulu. Orang ramai sering berasakan bahawa Dewan Rakyat kini dipengaruhi dan dimanipulasi melalui korupsi politik.

"Mereka juga berasakan bahawa ia adalah cara memperkaya beberapa orang sahaja sementara orang ramai keciciran. Orang ramai percaya bahawa Dewan Rakyat kini dilanda kekotoran korupsi politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih dan Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh menambah, korupsi politik itu sukar ditakrifkan kerana ia berlaku dalam berbagai bentuk.

"Bukti berlakunya korupsi politik ini ada kalanya kelihatan dan ada kalanya tertutup," katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau menzahirkan rasa sedih dengan amalan politik negara yang berbaur menjadi rasuah, dimana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti.

[TERKINI] Sidang Media Ahli Parlimen Gua Musang


Katanya, ia dilaksanakan dengan kewujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat.

"Rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain. Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk 'menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahankan' Perlembagaan kita.

"Para pemimpin parti politik, kehakiman, Kabinet dan Ahli Parlimen harus ingat bahawa mereka berkewajipan terhadap negara dan rakyat. Sekiranya mereka tidak menegakkan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan, itu bermakna mereka melakukan pengkhianatan," ujarnya.