KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk meminda dua peruntukan di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi membendung aktiviti penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan negara kerugian hampir RM3 bilion akibat jenayah siber itu.

Katanya lagi, di samping itu, kerajaan memberi jaminan tidak akan memilih bulu dalam menangkap mereka yang terlibat di sebalik aktiviti tersebut, sama ada sekadar orang bawahan atau dalang kumpulan berkenaan.

“Kita cadangkan untuk buat pindaan kepada Seksyen 116 Kanun Tatacara Jenayah, yang akan memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk membeku akaun bank yang digunakan aktiviti jenayah.

“Keduanya, pindaan terhadap Seksyen 424 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman terhadap pemegang akaun bank itu jika membenarkan pihak ketiga guna akaunnya. Kita akan lakukan pindaan bagi membolehkan kita buat siasatan dan buat tuduhan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, yang ingin mengetahui langkah segera kerajaan untuk membendung aktiviti penipuan dalam talian, serta adakah kerajaan ‘memilih bulu’ dalam melakukan pendakwaan.

Fahmi terdahulu berkata, ibunya sendiri menjadi mangsa penipuan dalam talian, apabila simpanan RM75,000 dalam Tabung Haji, hilang dalam masa 15 minit sahaja.

“Macam mana dalam kes Tabung Haji orang boleh tuju mak saya, tahu ada simpanan sedemikian banyak? RM75,000 dalam masa 15 minit hilang.

“Kenapa bank-bank tidak hentikan transaksi seperti itu, sebagai ahli Parlimen sekiranya saya keluarkan cek RM5,000 – RM10,000 bank akan call saya tanya. Kenapa dalam kes-kes seperti mak saya dan ramai lain, RM660 juta hilang akibat scam setiap tahun, selama lima tahun kebelakangan ini?” soalnya lagi.

Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria bin Mohd. Edris @ Tubau, Ismail berkata, jumlah kes yang dilaporkan di seluruh negara bagi tahun 2017 hingga 2022 (Januari hingga Jun) sebanyak 89,798 kes, melibatkan kerugian bernilai RM2,971,534,364.74.

Ahli Parlimen Kuala Krau itu berkata, pelbagai usaha telah dijalankan oleh PDRM dalam mengekang sindiket penipuan seperti ini termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan.

“Sepanjang tahun 2017 hingga tahun 2022 (Januari hingga Jun), seramai 42,884 tangkapan telah dibuat dan sebanyak 25,891 pertuduhan telah pun dilaksanakan.

“Selain daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang, pihak PDRM mengambil inisiatif dengan memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat berkaitan penipuan jenayah atas talian melalui kempenkempen kesedaran,” katanya lagi.