KUALA LUMPUR: Hari pertama sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini sedikit 'tegang' susulan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng didakwa menyebut nama 'Tan Sri Muhyiddin Yassin'.

Bangkit mempersoalkan perkara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(5), seseorang tidak dibenarkan menyebut nama Ahli Dewan lain, sebaliknya perlu menyebut nama kawasan yang diwakili.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker,  Alice Lau Kiong seolah-olah tidak mengendahkan perkara itu, dan meminta sesi persidangan Dewan Rakyat diteruskan.

Situasi itu menyebabkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim bangkit menyuarakan bantahan.

ARAU: Yang Berhormat Speaker, peraturan mesyuarat telah dikeluarkan, kalau tak setuju sebut tak setuju.

TIMBALAN SPEAKER: Kalau Arau tahu peraturan mesyuarat, Arau tak boleh berdiri sekarang?

ARAU: Saya berdiri di bawah Peraturan 36(6). Bagan menyebut nama Tan Sri Muhyiddin. Dia tak boleh sebut nama begitu, (tetapi) dia kena sebut nama (Parlimen) Pagoh. Dia bersangka jahat kepada Tan Sri Muhyiddin.

'Kerajaan Tan Sri Muhyiddin' cetus kekecohan di Dewan Rakyat


Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo kemudian mempertahankan Guan Eng, dengan menyatakan: "Apa yang disebut oleh Bagan ialah 'kerajaan' seseorang itu, bukan nama seseorang dalam Dewan."

Begitupun, Shahidan menegaskan bahawa beliau mengemukakan persoalan tersebut kepada Guan Eng, dan tidak kepada Gobind.

Terdahulu, Guan Eng ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan kedengaran menyebut 'Kerajaan Tan Sri Muhyiddin'.