KUALA LUMPUR:Kerajaan akan terus mengkaji dan meneliti arahan sekatan menyeluruh (blanket ban) dari semasa ke semasa bagi membenarkan kemasukan dari negara luar secara bersasar menggunakan konsep gelembung perjalanan (travel bubble).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata sekatan kemasukan warga asing ke Malaysia ini dibuat berdasarkan jadual pemarkahan matriks risiko yang mampu memberikan gambaran jelas mengenai risiko mengimport kes COVID-19 ke Malaysia.

"Kriteria yang diambil dalam pengiraan matriks risiko ini ada beberapa perkara termasuk bilangan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar insiden per satu juta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar kematian 14 hari kebelakangan per satu juta penduduk, kadar kematian kes dan indeks pemulihan," katanya di Parlimen, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (DAP-Bangi) yang meminta untuk menjelaskan mengenai dasar blanket ban yang dilaksanakan pada September untuk semua rakyat daripada negara yang mempunyai kes COVID-19 mencecah 150,000 kes termasuk mereka yang mempunyai permit masuk negara yang sah.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Redzuan berkata keputusan mengenakan sekatan itu dilaksanakan sebagai langkah segera pada awal September lalu.

"Ketika itu, kerajaan tidak mempunyai data yang mencukupi mengenai situasi penularan dan kaedah pengekangan wabak COVID-19 di negara-negara luar.

"Justeru, kerajaan mengambil langkah sekatan ini untuk melindungi rakyat Malaysia kerana kebimbangan berlakunya peningkatan kes di negara luar dan risiko jangkitan ke dalam negara kita," jelasnya.

Beliau memaklumkan, dalam tempoh sekatan sementara yang dibuat tersebut, kerajaan mendapatkan maklumat terkini dan membuat penilaian semula risiko.

"Sehubungan itu, pada 10 September 2020, kerajaan telah mengambil keputusan supaya pemegang pas ekspatriat kategori EP 1 dan pakar teknikal atau pekerja mahir asing dari 23 buah negara yang dikenakan sekatan kemasukan dibenarkan untuk memasuki Malaysia.

"Pun begitu, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan daripada pihak Jabatan Imigresen dan perlu mengemukakan dokumen sokongan daripada MIDA, kementerian atau agensi yang berkaitan," jelasnya.

Beliau menambah mereka masih lagi tertakluk kepada  selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Kian Ming, Mohd Redzuan berkata tindakan kerajaan menetapkan rakyat dari negara yang mencatat lebih 150,000 kes COVID-19 pada ketika itu adalah satu ukuran awal sahaja.