KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM593 juta untuk membeli peralatan tambahan bagi merawat kes-kes kritikal akibat jangkitan COVID-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perbelanjaan tersebut yang dibuat setakat 2020 dan 2021 meliputi pembelian seperti katil Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator dan peralatan perubatan tambahan lain bagi membolehkan rawatan yang lebih baik diberikan kepada pesakit.

"Ini (jumlah tersebut) tidak termasuk sumbangan yang kita telah terima daripada luar negara dan dalam negara.

"Jumlah sumbangan yang kita terima nilainya ialah RM148 juta, itu (jumlah) dari segi peralatan tambahan yang diperoleh," katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) yang mahu tahu jumlah peruntukan yang digunakan untuk merawat kes-kes jangkitan COVID-19, dan berapakah kos bagi setiap kes yang diuruskan.

Bagaimanapun, Khairy memaklumkan beliau akan menjawab secara bertulis berhubung perincian kos setiap rawatan kepada pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, berhubung cadangan mendirikan hospital kekal bagi menguruskan kes COVID-19 pula, Khairy berkata, setakat ini kementerian akan mengekalkan hospital penuh COVID-19 terutamanya di peringkat negeri.

Katanya, langkah tersebut akan terus dilaksanakan sehingga penularan pandemik tersebut dapat ditanggani dengan baik.

"Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama kerana dengan penurunan kes-kes kemasukan ke hospital.

"Lebih banyak lagi hospital-hospital hibrid yang mana sebahagian daripada wadnya diambil alih untuk menguruskan rawatan COVID-19 dapat dijadikan semula hospital biasa.

"Namun, demikian buat masa ini adalah untuk memastikan kapasiti bagi menguruskan kes-kes jangkitan COVID-19. 

"Kita masih akan kekal beberapa hospital sebagai hospital COVID-19 sama ada penuh atau hibrid yang dapat merawat kes COVID-19," katannya menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar).