Dewan Rakyat: KKM pantau penghasilan vaksin COVID-19 generasi baharu - Khairy

Hasimi Muhamad
Julai 19, 2022 04:23 MYT
Khairy Jamaluddin (gambar) berkata perolehan vaksin berkenaan akan dipertimbangkan jika ia selamat dan diluluskan oleh Badan Regulatori Kesihatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau penghasilan vaksin-vaksin generasi baharu yang dijangka berada di pasaran bagi membendung ancaman varian baharu COVID-19.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata perolehan vaksin berkenaan akan dipertimbangkan jika ia selamat dan diluluskan oleh Badan Regulatori Kesihatan.
"KKM juga sedang melihat kepada penghasilan vaksin-vaksin generasi baharu yang mungkin akan ke pasaran dan mendapat kelulusan Badan-badan Regulatori Kesihatan.
"Sekiranya didapati vaksin ini berkesan dan selamat yang dibangunkan seperti untuk varian Omicron dan sebagainya, mungkin perolehan boleh dipertimbangkan untuk masa akan datang," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy (BN-Rembau) menjawab soalan tambahan Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang bertanya sejauh mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan mampu menghadapi varian-varian yang sentiasa bermutasi, dan bagaimana rakyat untuk mendapatkan ubat antiviral paxlovid khususnya individu berisiko.
Mengulas lanjut, Khairy berkata KKM setakat ini telah memperluaskan penggunaan ubat antiviral paxlovid sehingga ke peringkat daerah termasuk di kawasan luar bandar.
"Di fasiliti kerajaan di Sarawak sahaja kita telah berikan ubat tersebut kepada 300 pesakit COVID-19, yang mana 75 diberikan melalui hospital manakala 224 lagi di klinik kesihatan di seluruh Sarawak.
"Penggunaan ubat ini bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di klinik kesihatan luar bandar yang sudah dibekalkan ubat tersebut," ujarnya lagi.
#varian COVID-19 #Khairy Jamaluddin #Omicron #Dewan Rakyat