KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan tiga syor atas semangat dwipartisan menerusi Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Ke-14.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara syor yang diluluskan itu termasuk pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan Rakyat ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat pada setiap hari Khamis.

"Ini adalah cadangan daripada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mendukung warisan negara. Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela," katanya ketika mengemukakan syor tersebut.

Syor itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Dewan Bil.2, Bil. 3 dan Bil. 4  tahun 2021.

Antara syor lain yang diluluskan adalah berkenaan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli.

"Lima Ahli Parlimen Kerajaan dan empat Ahli Parlimen Pembangkang.

"Pertambahan ini adalah selaras dengan Peraturan 82(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Wan Junaidi turut mengemukakan syor mengenai penubuhan jawatankuasa pilihan khas baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.

"Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa ini adalah penambahan daripada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan," ujarnya.