KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk mengungkai tujuh Ordinan Darurat, yang telah dikuatkuasakan sepanjang tempoh Proklamasi Darurat antara 11 Januari hingga 1 Ogos tahun ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Mohd Rashid Hasnon berkata lebih suara dalam dewan bersetuju agar usul tersebut diluluskan,

Usul itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan rata-rata ia disokong oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, walaupun ada pertikaian mengenai tujuan utama Proklamasi Darurat diisytiharkan.


Terdahulu, Ahli Parlimen Santubong itu menegaskan tuduhan atau persepsi bahawa Kerajaan dahulu mengisytiharkan Darurat untuk mengelakkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak benar.

Jelas beliau lagi, kerajaan ketika itu mempunyai maklumat dan data yang lebih, dan merasakan tindakan Proklamasi Darurat merupakan keputusan proaktif, dan terbaik dalam usaha mencegah penularan COVID-19 sebelum keadaan menjadi semakin buruk.


Dewan Rakyat luluskan pengungkaian Ordinan-ordinan Darurat

“Kerajaan masih berfikiran ketika itu, bahawa kita telah membuat keputusan yang dirasakan tindakan terbaik untuk kerajaan, negara, dan rakyat negara ini.

“Kerajaan mempunyai semua maklumat… sebab itu bila kita buat keputusan, Perlembagaan Persekutuan dibuat sebegitu rupa, supaya Jemaah Menteri membuat keputusan, dan menasihati Yang di-Pertuan Agong atas beberapa perkara. Ini oleh kerana Jemaah Menteri mewakili kerajaan yang tahu semua butiran,” katanya lagi.

Wan Junaidi berkata, tanpa Proklamasi Darurat, kerajaan akan mengalami kesukaran untuk mengambil tindakan yang dirasakan perlu, bagi menangani penularan wabak COVID-19 yang ketika itu dirasakan sudah kritikal.

Menyentuh mengenai cadangan M Kulasegaran (PH – Ipoh Barat) untuk diwujudkan Suruhanjaya Kebenaran (Truth Comission), Wan Junaidi berkata, kerajaan mengambil maklum dan akan mengkaji kesesuaian penubuhannya.

Mengenai cadangan untuk meminda Fasal 8 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, supaya Proklamasi Darurat boleh dicabar di Mahkamah, beliau berkata, perkara itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.