KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berada dalam situasi aman sepertimana sekarang jika tanpa pelaksanaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mengambil contoh laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, Ahli Parlimen Pontian daripada Barisan Nasional (BN) itu mendakwa, kedudukan Malaysia di tangga ke-18 negara paling aman di dunia antaranya dipengaruhi oleh akta tersebut.

"Pada 24 Julai, Insitut Ekonomi dan Keamanan (IEP) mengeluarkan laporan GPI yang mana mereka menggunakan 23 penunjuk kualitatif dan kuantitatif. Antara tiga faktor yang dirujuk ialah tahap keselamatan masyarakat, perkembangan konflik domestik dan antarabangsa serta tahap ketenteraan

"Negara paling aman di dunia ialah Iceland; New Zealand (kedua); Ireland (ketiga); Denmark (keempat); dan Austria (kelima).

"Singapura pula berada di kedudukan nombor sembilan dan Jepun (10). Maka, saya ingin umumkan Malaysia berada di tahap 18 paling aman di dunia daripada 194 negara di dunia, (dan) saya kira antara sebabnya ialah SOSMA," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

BACA: Dewan Rakyat: Subseksyen 4(5) SOSMA beri keadilan kepada orang ditahan

Ahmad berkata demikian ketika membahaskan Subseksyen 4(5) SOSMA, yang dibentangkan semula untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Membahaskan lagi, Ahmad turut merujuk beberapa kes jenayah yang berlaku sejak 2020, yang menggambarkan bahawa SOSMA diperlukan untuk menangani kejadian sedemikian.

"Kalau kita tidak ada SOSMA, saya ingin menyatakan di sini pada 18 Februari 2020, kita ada tangkapan 18 individu oleh polis.

"(Daripada jumlah tersebut), 12 merupakan warganegara Malaysia, Bangladesh (empat); dan Pakistan (dua). Apa yang mereka lakukan ialah menggodam sistem imigresen dan bayangkan kalau kita tiada SOSMA?" ujarnya lagi. 

Bagaimanapun, dakwaan yang dibuat Ahmad dipertikaikan oleh Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam), yang mengemukakan persoalan adakah Iceland yang dikategorikan sebagai paling aman juga melaksanakan SOSMA di negara itu.

Selain itu, Ahmad turut menyentuh mengenai  persetujuan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan (PH).

Antara persetujuan tersebut, dakwa Ahmad ialah Ahli Parlimen pembangkang perlu mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-apa usul atau RUU daripada kerajaan.

"Saya ingin mengingatkan mengenai rakan-rakan yang tidak setuju, di mana Perkara 3.3b (dalam MoU) menyatakan hendaklah mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam proses meluluskan apa-paa usul kerajaan. Ini sudah ditandatangani," katanya.

Namun, Khalid dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) bangkit mempersoalkan perkara itu, dan meminta Ahmad agar tidak mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kandungan MoU tersebut.

"Saya sebahagian daripada jawatankuasa pelaksana (MoU). Jangan Mengelirukan dewan," kata Fahmi.

Pada 23 Mac lalu, usul tersebut gagal diluluskan selepas tidak mendapat jumlah undian mencukupi.
Begitupun minggu lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat
pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk lima tahun lagi.

Ia sekali gus membolehkan KDN mengemukakan semula usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini di Dewan Rakyat.