KUALA LUMPUR: Status terkini mengenai pelaksaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat, pertanyaan itu diajukan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mengenai status lokasi pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak strategik seperti di Butterworth, Labuan dan Kelantan.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni pula meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai dakwaan syarikat telekomunikasi tidak mahu mendaftar dengan DNB untuk menggunakan 5G kerana harga yang terlalu tinggi.

Tumpuan juga terarah kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai yang meminta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan status penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) memandangkan ia akan berkuatkuasa secara rasmi menjelang 1 Januari 2022.

Seterusnya, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah konsep Keluarga Malaysia dapat diterjemahkan menerusi dasar dan pelaksanaan yang dirangka kerajaan agar tidak hanya tertumpu kepada kaum majoriti tetapi meliputi semua lapisan kaum dan bangsa.

Turut dibangkitkan ialah kesiapsiagaan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi pencerobohan yang sering berlaku di Laut China Selatan oleh Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria kepada Menteri Kanan Pertahanan.

Persoalan menarik turut dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis kepada Perdana Menteri mengenai sama ada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) akan mengambil kira dimensi pendidikan, kesihatan dan perkara lain yang lebih holisitik dalam menggambarkan keadaan sebenar kemiskinan negara.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di peringkat jawatankuasa bagi beberapa kementerian.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini.