KUALA LUMPUR: Boleh kata banjir tahun ini adalah yang terburuk, lebih teruk daripada yang menimpa negara pada 2014.

Tidak hanya negeri-negeri biasa - Kelantan, Terengganu dan Pahang, namun kali ini Selangor turut tenggelam dan lumpuh tanpa diduga.

Ya, tak diduga. Itu ayat yang sering kita dengar apabila musibah melanda. Namun ia sudah menjadi ungkapan ‘eskapisme’ tatkala kita gagal membaca tanda-tanda yang sudah diberiNya.

Malah pembacaan hari ini sepatutnya lebih terang dengan adanya teknologi canggih dan jaringan kajian cuaca yang luas antara negara.

Membaca dan meramal kebarangkalian satu perkara, hal koordinasi gerak kerja persiapan kita menghadapi dan mengharunginya pun bermasalah.

Kita menyaksikan pengurusan kecemasan kita menyelamatkan mangsa-mangsa banjir tidak sistematik.

Persoalannya, ini bukan kali pertama negara berdepan banjir.

Mungkin yang pertama selepas berdekad lamanya di Selangor, tetapi hampir setiap tahun di pantai timur.

Mengetahui fakta yang Malaysia memang kawasan yang tinggi taburan hujannya sejak dahulu lagi, jadi adakah masih sesuai ungkapan ‘tak diduga’ itu digunakan lagi tatkala ramai hilang nyawa, keluarga tercinta, sahabat handai, harta benda malah segalanya?

Sudah terhantuk baru nak terngadah, tapi sekurang-kurangnya kita mengadah. Mata kita kembali dibuka untuk melihat di mana silap kita.

Di pentas Dialog Tiga Penjuru malam ini jam 8.30, kita cuba cari solusinya.