KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa penganjur Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) Negeri Selangor di Kuala Selangor tidak membuat permohonan rasmi bagi menggunakan kemudahan di tapak program berkenaan.

Sebaliknya jelas beliau, penganjur hanya membuat panggilan telefon kepada pihak bertanggungjawab terhadap tapak terbabit, berhubung hasrat menggunakan kemudahan berkenaan pada Jumaat lalu.

"Saya telah semak dengan agensi negeri atas dakwaan PM & Noh Omar Selangor halang guna fasiliti untuk program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

"Tidak ada permohonan rasmi dibuat untuk penggunaan fasiliti terbabit, hanya panggilan telefon dibuat Jumaat lalu dan telah diingatkan perlu permohonan rasmi," katanya melalui laman Twitternya pada Khamis.

Karnival Usahawan | PM kesal kerajaan negeri halang KUKKM dijalankan

BACA: PM kesal kerajaan negeri Selangor tidak benar guna tapak bagi program KUKKM

Kata Amirudin, ketika panggilan telefon itu dibuat, pihak penganjur telah diingatkan agar membuat permohonan rasmi, namun perkara itu tidak dibuat sehingga program berlangsung.

"Permohonan bertulis penting kerana agensi perlu rincian program fasiliti terbabit telah diwartakan sebagai tempat penamaan calon. Tohmahan menghalang adalah tidak berasas dan menipu," tegasnya. 

Justeru, dakwaan berkenaan disifatkannya sebagai resam pimpinan UMNO dan BN yang tidak pernah berubah melakukan politik adu domba dan memecah belah.

"Tuduhan agensi bertindak dengan niat politik adalah penghinaan kepada penjawat awam Selangor yang selalu berkhidmat dengan profesional dan objektif," tegasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak tindakan kerajaan Negeri Selangor yang didakwa menghalang penganjuran KUKKM Negeri Selangor di Kuala Selangor pada Khamis.

Ujarnya, pihak penganjur iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) serta Kementerian Kewangan berdepan kesukaran apabila tidak diberi kebenaran mengadakan program itu pada asalnya.