KUALA LUMPUR: Dua lelaki tempatan yang didakwa merogol seorang wanita selepas berhibur di sebuah pusat hiburan di ibu negara telah menyerah diri, pada Sabtu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias, kedua-dua suspek berusia 31 hingga 38 tahun.

"Kedua-dua suspek telah serah diri di Balai Polis Putra Heights jam 6 petang pada Sabtu. Kes ketika ini masih sedang dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Rabu lalu, tular satu ciapan Twitter dipercayai kawan baik mangsa yang mendakwa kedua-dua suspek terbabit sudah beberapa kali melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita lain selepas memasukkan dadah dalam minuman tanpa disedari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu mangsa mengalami mabuk dipercayai diberi minuman mengandungi dadah.

Mangsa dan rakannya kemudian dibawa oleh kedua-dua suspek ke sebuah hotel di ibu kota. Mangsa hanya menyedari dirinya dirogol selepas dimaklumkan oleh rakannya itu.

Kamaruzaman berkata, siasatan dilakukan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol).

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian atau menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih kerana tindakan itu boleh mengganggu siasatan pihak polis.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 585 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.