Kementerian Kesihatan akan mengkaji latar belakang wanita 41 tahun dari Rembau, Negeri Sembilan yang didapati positif penyakit difteria pada Rabu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memaklumkan, ia bagi menyemak sama ada pesakit tersebut pernah mendapat suntikan vaksin difteria sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun suri rumah itu memaklumkan bahawa dirinya pernah mendapatkan vaksinasi penyakit tersebut, kebenarannya harus dipastikan dengan menyemak sejarah perubatannya.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku sepanjang 41 tahun itu dan kita akan semak balik ada atau tidak rekod menyatakan wanita tersebut pernah mendapat vaksinasi," katanya.

Beliau menambah, wujud juga kemungkinan wanita tersebut tidak mendapat vaksinasi sepenuhnya atau kurang daripada sukatan yang diperlukan, menyebabkan penyakit mula mengjangkitinya pada usia yang lewat.

Pada masa sama, katanya sampel juga telah diambil dari wanita tersebut untuk dikaji bagi melihat sebarang perubahan atau kemungkinan berlakunya mutasi terhadap bakteria penyakit tersebut di Malaysia.

Kes wanita tersebut adalah yang pertama melibatkan orang dewasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah 15, termasuk satu kematian dalam tiga kes di Melaka, satu kematian dalam tujuh kes di Kedah dan tiga kematian dalam empat kes di Sabah.

Difteria adalah penyakit yang disebabkan jangkitan bakteria berpunca daripada Corynebacterium difteria (C. difteria) yang menyerang saluran pernafasan yang terluka dan membentuk membran kelabu yang menyelaputi tonsil serta bahagian saluran pernafasan.

Penyakit yang selalu dikesan pada kanak-kanak ini akan menyebabkan saluran pernafasan yang dijangkiti membengkak dan penghidap mengalami demam secara tiba-tiba serta kesukaran bernafas, bercakap dan menelan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Subramaniam menegaskan bahawa kes difteria di negara ini masih dalam keadaan terkawal.

Ketika ini, tahap perlindungan terhadap penyakit difteria berada pada 95 peratus, di mana baki 5 peratus itu adalah golongan yang tidak divaksin.

"Kumpulan ini yang sentiasa dalam risiko untuk mendapat penyakit itu. Saya masih percaya mereka yang telah divaksin sepenuhnya masih dilindungi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan penjenamaan semula Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) kepada Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di sini, hari ini.